Tuesday 23 September 2014

ADAT ISTIADAT PERKAHWINAN KAUM INDIA



Pengenalan

  Masyarakat India merupakan etnik ketiga terbesar di Malaysia dan juga salah satu kaum yang telah menyumbang ke arah pembentukan sebuah masyarakat majmuk di negara kita. Seperti masyarakat lain, masyarakat India juga kaya dengan ciri-ciri kebudayaan mereka dan masih mengekalkan kebudayaan tersebut sehingga kini. Adat resam yang diamalkan oleh masyarakat India mempunyai banyak persamaan dengan kebudayaan masyarakat Melayu. Ini jelas terlihat dalam aspek kelahiran dan perkahwinan. Seperti juga masyarakat lain, masyarakat India terdiri daripada pelbagai suku kaum, justeru itu maklumat berikut hanya memaparkan adat resam masyarakat India secara umum.


Merisik

    Dalam peringkat merisik, beberapa aspek perlu diberi perhatian seperti faktor etnik, sub etnik, kasta dan agama. Selain itu, faktor-faktor lain seperti status ekonomi dan status sosial merangkumi aspek seperti umur, tahap pendidikan, jenis pekerjaan, etika dan moral, rupa paras dan latar belakang keluarga juga turut diambil kira. Selalunya maklumat-maklumat ini diperolehi secara langsung dari pihak yang terlibat dan juga secara tidak langsung menerusi sahabat-handai dan saudara mara. Ada kalanya orang tengah yang dipanggil tirumana taraga akan membantu dalam kerja-kerja merisik. Tetapi kini peranan tersebut telah diambil alih oleh ejen-ejen perkahwinan yang berdaftar.


Kunjungan Ke Rumah Pengantin

    Adat ini dilakukan selepas adat merisik dilakukan. Bakal pengantin lelaki akan mengunjungi bakal pengantin perempuan untuk melihat sendiri paras rupa dan perawakan calon isterinya. Adat ini dikenali sebagai pen paarttal atau dalam bahasa Melayu dipanggil sebagai melihat bakal isteri. Ketika itu wakil pihak lelaki perlu datang dalam jumlah ganjil walaupun bilangan tersebut ramai.

    Buah tangan seperti kelapa, sirih, pinang, cendana, buah-buahan, bunyi-bunyian serta serbuk kumkum akan dibawa. Barang-barang ini dibawa sebagai tanda kedatangan mereka atas niat yang baik dan untuk mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan. Pihak perempuan akan menerima hantaran tersebut sekiranya bersetuju. Jika tidak, mereka hanya melayan orang yang datang sebagai tetamu dan tidak boleh mengambil barang-barang tersebut.

    Bakal pengantin perempuan akan memakai sari dan dipertanggungjawabkan menghidang air minuman. Pada masa itu bakal pengantin lelaki berpeluang melihat pengantin perempuan dengan lebih dekat lagi. Oleh itu bakal pengantin perempuan perlu melayani para tetamu yang bertandang termasuklah bakal suami. Kemudian kunjungan ini dibalas oleh wakil perempuan. Kali ini pengantin perempuan tidak turut serta. Dalam masyarakat India, adat pen paarttal juga bertujuan untuk mengetahui latar belakang bakal pengantin lelaki.


Kaji Kecocokan Pengantin

       Adat penyesuaian bakal pengantin dikenali sebagai Thairumanam Poruttam Paartal dijalankan terlebih dahulu, dalam ajaran Hindu tidak terdapat konsep perceraian. Terdapat 21 aspek perlu diambil kira untuk menentukan kesesuaian pasangan bakal pengantin dengan cara tilikan dimanak Hindu. Diantara yang masih diamalkan oleh masyarakat Hindu iaitu Tina poruttam/Natcattira poruttam, Kana poruttam, Mahentira poruttam, Pentiikka poruttam, Yooni poruttam, Raasi poruttam, Raasiyaati paati poruttam, Vaiya poruttam, Racau poruttam dan Veetai poruttam.  

Ikat Janji

        Ikat janji atau niccayam dilakukan selepas mendapat persetujuan kedua-dua belah pihak. Wakil lelaki akan datang ke rumah pihak perempuan dalam jumlah bilangan yang ganjil dengan membawa beberapa barangan seperti kelapa, sirih pinang, bunga-bungaan, buah-buahan, cendana dan kumkum untuk diberikan kepada wakil perempuan.

     Sebaik sahaja sampai ke rumah bakal pengantin perempuan, bapa kedua-dua belah pihak akan berbincang mengenai perkahwinan tersebut. Sekiranya bapa salah seorang bakal pengantin telah meninggal dunia, perbincangan akan diadakan dengan saudara-mara. Sekiranya kedua-dua belah pihak pengantin bersetuju, mereka akan mengikat janji.


     Bakal pengantin lelaki seterusnya akan melafazkan ikat janji bagi menyatakan persetujuan untuk mengahwini bakal pengantin perempuan. Seterusnya perkahwinan tersebut akan diumumkan kepada orang ramai. Sebagai tanda ikatan, kedua-dua pengantin akan menukar sirih pinang yang dinamakan taambuulan marrutal. Kemudian mereka akan membincangkan mengenai hari perkahwinan dan tentang belanja untuk pengantin perempuan, kad jemputan dan sebagainya. Kemudian upacara niccayam akan dilakukan dan lazimnya akan dijalankan dengan bertukar-tukar kalungan bunga.


Upacara Perkahwinan

       Thirumanan bermaksud penyatuan atau ikatan suci melalui perkahwinan antara pasangan suami isteri agar kekal hingga ke akhir hayat. Terdapat tiga jenis perkahwinan dalam masyarakat India iaitu Vaitikat Thairumanam, Tamil Thairumanam dan Diya Thairumanam yang mana perkahwinan ini dijalankan adalah berlandaskan aspek suku kaum.

       Majlis perkahwinan dimulakan dengan upacara niccayam (ikat janji) dengan memberi hadiah seperti pakaian dan lain-lain. Kad undangan disapu dengan air kunyit dibawa ke kuil dalam jumlah ganjil sebagai tanda rasmi undangan perkahwinan. Upacara Kanggenam iaitu menanam sebatang pokok yang lurus dan disapu dengan serbuk kunyit tiga hari sebelum hari perkahwinan dilangsungkan. Pengantin lelaki tidak dibenarkan keluar selama tiga hari sebelum hari perkahwinan.

Pengantin Bersanding

     Upacara perkahwinan dilakukan oleh Pedanda dengan berdoa supaya pengantin hidup bahagia hingga hari tua. Pedanda akan menabur sembilan jenis bijirin setelah selesai acara menyarung cincin. Pengantin lelaki akan mengalungkan thaali yang diperbuat daripada benang yang disapu dengan kunyit dan hujungnya diikat dengan seketul kunyit kepada pengantin perempuan hingga aras dada. Kedua mempelai memberi hormat kepada ibu bapa atau mertua dengan menukar dulang berisi buah-buahan dan menyapu debu suci pada dahi pengantin.

     Antara adat yang dilakukan untuk menghormati dan mendapat restu termasuklah menyerah sebiji kelapa yang dilubangkan pada bahagian atasnya, menuang air susu ke dalamnya, memberi sirih, mencium tapak kaki ibu bapa (membasuh kaki ibu bapa), memberi hadiah dhoti (bapa mertua) serta sari (ibu mertua) dan wang. Biasanya pasangan pengantin akan bertukar-tukar kalungan bunga sebanyak tiga kali dan berkongsi minum air susu bercampur pisang di dalam sebiji gelas. Upacara ini menandakan pasangan ini secara rasmi telah menjadi suami isteri.

      Beberapa faktor penting yang diambil kira sebelum upacara perkahwinan dilangsungkan untuk mendapat kebahagiaan hidup, antaranya seperti masa yang baik untuk melangsungkan perkahwinan, pengertian thaali, valatu kal, pemberian manisan, hadiah, penghormatan kepada pengantin lelaki, simbol pokok pisang, jamuan perkahwinan dan meroboh khemah perkahwinan.


Selepas Majlis Perkahwinan

     Terdapat beberapa adat yang dijalankan oleh masyarakat India selepas berlangsungnya sesuatu perkahwinan. Antara adat tersebut ialah pengantin perempuan dikehendaki pergi ke rumah pengantin lelaki sebagai menghormati suami selepas mereka disahkan sebagai pasangan suami isteri. Kemudian pengantin lelaki pula dikehendaki pergi ke rumah pengantin perempuan selama tiga hari. Pada masa itu ibu bapa mertua akan menghormati kedua-dua pengantin dengan mengadakan jamuan.

     Pada hari ketiga selepas perkahwinan, Khemah lazimnya akan dirobohkan. Sebelum khemah dirobohkan, ayam akan disembelih sebagai tanda menunjukkan tamatnya upacara perkahwinan. Namun amalan tersebut tidak lagi dilakukan pada masa kini. Hanya jamuan ringan sahaja yang diberikan kepada mereka yang merobohkan khemah perkahwinan.

      Jamuan perkahwinan tidak ketinggalan diadakan selepas upacara perkahwinan dijalankan. Sekiranya perkahwinan dilakukan di kuil, sayur-sayuran akan dihidangkan kepada para tetamu. Sekiranya jamuan diadakan di dewan, makanan selain dari sayur-sayuran dihidangkan, kecuali daging kerana daging amat dilarang dalam agama Hindu. Jamuan tersebut akan turut disertai oleh saudara mara serta sahabat handai.












2 comments: