Tuesday 23 September 2014

ADAT PERKAHWINAN KAUM CINA



PENGENALAN



    Perkahwinan dalam masyarakat Cina merupakan satu titik tolak yang membawa perubahan besar dalam kehidupan mereka. Perkahwinan penting untuk mengekalkan institusi keluarga dan melaluinya keturunan nenek moyang dapat diteruskan daripada satu generasi kepada generasi yang lain.  


     Dalam masyarakat Cina, sesuatu perkahwinan itu dirancang dan diatur sebaik-baiknya. Mengikut kepercayaan mereka juga, pasangan yang berkahwin tanpa mengikut aturan adat dianggap tidak sah. Terdapat dua bentuk perkahwinan yang diamalkan oleh mereka iaitu eksplisit iaitu perkahwinan yang diatur sama ada oleh ibu bapa atau orang tengah (moi-ngin) dan implisit iaitu perkahwinan di mana kedua-dua lelaki dan perempuan diberi kebebasan untukmemilih pasangan masing-masing. Pada asasnya adat resam perkahwiwan masyarakat Cina merangkumi peringkat merisik, meminang, bertunang dan majlis perkahwinan.   


Merisik

       Adat merisik dijalankan untuk mengetahui latar belakang gadis yang dihajati. Masyarakat Cina terlalu mengambil berat tentang nama , keturunan, peribadi, watak dan tingkah laku si gadis. Ciri-ciri ini penting untuk mewujudkan perkahwinan yang berkekalan. Cara merisik terpulang kepada ibu bapa kerana pada lazimnya ibu bapa pihak lelaki akan menanyakan kenalan dan rakan taulan yang kenal dengan keluarga si gadis. Sebahagian masyarakat Cina lebih gemar mengadakan perbincangan tersebut di restoran-restoran dengan disertai saudara mara lain. Tradisi makan bersama ini amat penting dalam masyarakat Cina  kerana ia dapat mengeratkan perhubungan di antara kedua belah keluarga. Perbincangan ketika merisik adalah berkenaan perkara-perkara umum terutama tentang latar belakang keluarga dan asal keturunan.


Meminang

        Setelah kedua-dua pihak berpuas hati dengan latar belakang keluarga masing-masing adat meminang akan dijalankan. Seorang wakil dipilih untuk berkunjung ke rumah si gadis bagi membincangkan perkara-perkara berkaitan perkahwinan. Ibu pengantin pengantin perempuan pula akan berbincang dengan wakil tersebut berkenaan jumlah mas kahwin, peruntukan meja dalam jamuan makan dan memilih hari yang paling sesuai. Pihak lelaki tidak akan tawar menawar kerana bimbang akan menjatuhkan maruah. Segala ketetapan yang telah dipersetujui, diberitahu kepada kedua ibu bapa pihak lelaki. Ibubapa pihak lelaki akan berbincang dengan anaknya untuk menyediakan segala permintaan daripada pihak perempuan.. Setelah kedua-dua pihak sudah saling mengenal dan bersetuju untuk berkahwin, barulah adat bertunang dijalankan.


Bertunang

         Hari pertunangan dilakukan berdasarkan kalendar Cina dan ia hendaklah bersesuaian dengan bintang kelahiran kedua pasangan tersebut. Khidmat tukang tilik digunakan untuk penetapan tarikh tersebut berpandukan kepada sebuah buku iaitu Toong-Su. Ini penting kerana jika dilakukan pada waktu yang tidak sesuai dipercayai akan ditimpa bencana dan perkahwinan akan menghalami kegagalan. Pada masa inilah bakal pengantin lelaki berkunjung ke rumah perempuan untuk menunaikan permintaan. Upacara bertukar cincin dilakukan mengikut masa yang ditetapkan . Cincin disarung di jari manis kiri oleh kedua-dua bakal pengantin sehingga hari perkahwinan. Bagi membuktikan persetujuan, gadis berkenaan akan menyerahkan sekeping kertas merah atau nyen-sang yang tertulis nama gadis, umur dan tarikh lahirnya yang didapati daripada tukang tilik. Setelah nyen-sang diterima, pihak lelaki akan mengadakan persediaan. Nyen-sang kepunyaan si gadis pula akan diberikepada tukang tilik bersama-sama maklumat yang sama tentang dirinya.Tukang tilik akan menghitung hari dan masa yang sesuai berdasarkan kedua-dua nyen-sang dan dicatat pada sehelai kertas merah yang dinamakan nyik-kor. Ketika menentukan hari yang sesuai, tukang tilik membuat ramalan berdasarkan tahun kelahiran kedua pasangan. Setelah mendapat tarikh dan masa yang sesuai, tukang tilik akan menyediakan dua keping nyik-kor dandiberikan kepada lelaki dan perempuan yang hendak berkahwin. Nyik-kor tersebut mengandungi peraturan-peraturan dan adat-adat yang perlu diikuti oleh kedua bakal pengantin merangkumi adat-adat tertentu. Hantaran dan mas kahwin lazimnya diberi semasa upacara bertukar cincin perkahwinan atau pada hari lain seperti hari istiadat perkahwinan yang diadakan di Pejabat Pendaftaran Perkahwinan. Di antara hantarannya ialah sebentuk cincin emas, sepersalinan pakaian, kain dan wang tunai. Sekiranya pihak lelaki tidak menyediakan barang hantaran yang cukup kepada pengantin perempuan, sejumlah besar wang tunai akan diberi. Beserta dengan penghantaran mas kahwin, keluarga pengantin perempuan diberitahu tarikh perkahwinan dan rundingan akan dibuat dengan pengantin perempuan. Dalam masyarkat Cina, semakin besar mas kahwin yang diberikan, semakin tinggi martabat dan kedudukan pihak lelaki.

Majlis Perkahwinan

           Hari perkahwinan akan dilangsungkan setelah setahun bertunang atau mengikut tempoh yang dipersetujui oleh kedua belah pihak. Sebelum tiba hari perkahwinan sekiranya terdapat kematian di kalangan ahli keluarga bakal pengantin, perkahwinan itu mesti ditangguhkan pada tahun hadapan ataupun selama seratus hari. Adalah tidak manis mengadakan perkahwinan sewaktu orang lain sedang berkabung kesedihan. Pada hari perkahwinan tersebut pengantin perempuan dan lelaki dihias indah. Masyarakat Cina pada masa dahulu memakai pakaian pengantin yang diperbuat daripada kain sutera dan disulam benang emas. Kemudian setiap pakaian dihias dengan pelbagai aksesori. Baju pengantin sebaik-baiknya bewarna putih, merah atau kuning. Adalah dilarang memakai



 baju hitam, biru dan kelabu kerana dipercayaiwarna-warna tersebut melambangkan kematian dan kesedihan.Seterusnya pengantin lelaki akan bertandang ke rumah pengantin perempuan dan pada masa itulah pengantin lelaki dan perempuan akan duduk bersama buat kali pertama. Mereka akan diiringioleh pengiring masing-masing. Seterusnya pasangan pengantin akan didudukkan diatas pelamin yang telah disediakan diruang tamu. Selepas acara bersanding,pasangan pengantin akan dibawa bertemu ahli keluarga masing-masing. Pengantinlelaki akan memperkenalkan keluarga dan sauadara maranya kepada isterinya dan begitulah sebaliknya. Di samping itu juga kedua pengantin akan meminta restu daripada keluarga mertua masing-masing. Dalam masyarakat Cina juga, upacara meminum teh sangat penting dan masih diamalkan. Ia merupakan tradisi masyarakat Cina yang mempunyai maksud yang tersendiri. Adat ini melambangkan penerimaan pasangan pengantin terutamanya si isteri dalam keluarga si suami di samping bertujuan untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan. Dalam upacara ini pasangan pengantin akan memberi teh yang disediakan kepada saudara mara pihak lelaki. Walau bagaimanapun adat bersanding dan upacara minum teh ini sudah kurang diamalkan oleh masyarakat Cina hari ini. Kemuncak upacara perkahwinan masyarakat Cina ialah pada sebelah malam iaitu jamuan makan. Jamuan makan ini diadakan secara besar-besaran samada di rumah, dewan, atau restoran. Tetamu-tetamu yang datang akan membawa Ang-pau sebagai hadiah kepada pasangan pengantin. Pada masa yang sama kedua pengantin akan cuba mengenali dan beramah mesra dengan ahli keluarga kedua belah pihak.



Akhir sekali, sebagai bukti perkahwinan,pasangan pengantin akan menandatangani dua pucuk surat perkahwinan iaitu Keat Foon Ching Su di hadapan beberapa orang saksi.















ADAT ISTIADAT PERKAHWINAN KAUM INDIA



Pengenalan

  Masyarakat India merupakan etnik ketiga terbesar di Malaysia dan juga salah satu kaum yang telah menyumbang ke arah pembentukan sebuah masyarakat majmuk di negara kita. Seperti masyarakat lain, masyarakat India juga kaya dengan ciri-ciri kebudayaan mereka dan masih mengekalkan kebudayaan tersebut sehingga kini. Adat resam yang diamalkan oleh masyarakat India mempunyai banyak persamaan dengan kebudayaan masyarakat Melayu. Ini jelas terlihat dalam aspek kelahiran dan perkahwinan. Seperti juga masyarakat lain, masyarakat India terdiri daripada pelbagai suku kaum, justeru itu maklumat berikut hanya memaparkan adat resam masyarakat India secara umum.


Merisik

    Dalam peringkat merisik, beberapa aspek perlu diberi perhatian seperti faktor etnik, sub etnik, kasta dan agama. Selain itu, faktor-faktor lain seperti status ekonomi dan status sosial merangkumi aspek seperti umur, tahap pendidikan, jenis pekerjaan, etika dan moral, rupa paras dan latar belakang keluarga juga turut diambil kira. Selalunya maklumat-maklumat ini diperolehi secara langsung dari pihak yang terlibat dan juga secara tidak langsung menerusi sahabat-handai dan saudara mara. Ada kalanya orang tengah yang dipanggil tirumana taraga akan membantu dalam kerja-kerja merisik. Tetapi kini peranan tersebut telah diambil alih oleh ejen-ejen perkahwinan yang berdaftar.


Kunjungan Ke Rumah Pengantin

    Adat ini dilakukan selepas adat merisik dilakukan. Bakal pengantin lelaki akan mengunjungi bakal pengantin perempuan untuk melihat sendiri paras rupa dan perawakan calon isterinya. Adat ini dikenali sebagai pen paarttal atau dalam bahasa Melayu dipanggil sebagai melihat bakal isteri. Ketika itu wakil pihak lelaki perlu datang dalam jumlah ganjil walaupun bilangan tersebut ramai.

    Buah tangan seperti kelapa, sirih, pinang, cendana, buah-buahan, bunyi-bunyian serta serbuk kumkum akan dibawa. Barang-barang ini dibawa sebagai tanda kedatangan mereka atas niat yang baik dan untuk mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan. Pihak perempuan akan menerima hantaran tersebut sekiranya bersetuju. Jika tidak, mereka hanya melayan orang yang datang sebagai tetamu dan tidak boleh mengambil barang-barang tersebut.

    Bakal pengantin perempuan akan memakai sari dan dipertanggungjawabkan menghidang air minuman. Pada masa itu bakal pengantin lelaki berpeluang melihat pengantin perempuan dengan lebih dekat lagi. Oleh itu bakal pengantin perempuan perlu melayani para tetamu yang bertandang termasuklah bakal suami. Kemudian kunjungan ini dibalas oleh wakil perempuan. Kali ini pengantin perempuan tidak turut serta. Dalam masyarakat India, adat pen paarttal juga bertujuan untuk mengetahui latar belakang bakal pengantin lelaki.


Kaji Kecocokan Pengantin

       Adat penyesuaian bakal pengantin dikenali sebagai Thairumanam Poruttam Paartal dijalankan terlebih dahulu, dalam ajaran Hindu tidak terdapat konsep perceraian. Terdapat 21 aspek perlu diambil kira untuk menentukan kesesuaian pasangan bakal pengantin dengan cara tilikan dimanak Hindu. Diantara yang masih diamalkan oleh masyarakat Hindu iaitu Tina poruttam/Natcattira poruttam, Kana poruttam, Mahentira poruttam, Pentiikka poruttam, Yooni poruttam, Raasi poruttam, Raasiyaati paati poruttam, Vaiya poruttam, Racau poruttam dan Veetai poruttam.  

Ikat Janji

        Ikat janji atau niccayam dilakukan selepas mendapat persetujuan kedua-dua belah pihak. Wakil lelaki akan datang ke rumah pihak perempuan dalam jumlah bilangan yang ganjil dengan membawa beberapa barangan seperti kelapa, sirih pinang, bunga-bungaan, buah-buahan, cendana dan kumkum untuk diberikan kepada wakil perempuan.

     Sebaik sahaja sampai ke rumah bakal pengantin perempuan, bapa kedua-dua belah pihak akan berbincang mengenai perkahwinan tersebut. Sekiranya bapa salah seorang bakal pengantin telah meninggal dunia, perbincangan akan diadakan dengan saudara-mara. Sekiranya kedua-dua belah pihak pengantin bersetuju, mereka akan mengikat janji.


     Bakal pengantin lelaki seterusnya akan melafazkan ikat janji bagi menyatakan persetujuan untuk mengahwini bakal pengantin perempuan. Seterusnya perkahwinan tersebut akan diumumkan kepada orang ramai. Sebagai tanda ikatan, kedua-dua pengantin akan menukar sirih pinang yang dinamakan taambuulan marrutal. Kemudian mereka akan membincangkan mengenai hari perkahwinan dan tentang belanja untuk pengantin perempuan, kad jemputan dan sebagainya. Kemudian upacara niccayam akan dilakukan dan lazimnya akan dijalankan dengan bertukar-tukar kalungan bunga.


Upacara Perkahwinan

       Thirumanan bermaksud penyatuan atau ikatan suci melalui perkahwinan antara pasangan suami isteri agar kekal hingga ke akhir hayat. Terdapat tiga jenis perkahwinan dalam masyarakat India iaitu Vaitikat Thairumanam, Tamil Thairumanam dan Diya Thairumanam yang mana perkahwinan ini dijalankan adalah berlandaskan aspek suku kaum.

       Majlis perkahwinan dimulakan dengan upacara niccayam (ikat janji) dengan memberi hadiah seperti pakaian dan lain-lain. Kad undangan disapu dengan air kunyit dibawa ke kuil dalam jumlah ganjil sebagai tanda rasmi undangan perkahwinan. Upacara Kanggenam iaitu menanam sebatang pokok yang lurus dan disapu dengan serbuk kunyit tiga hari sebelum hari perkahwinan dilangsungkan. Pengantin lelaki tidak dibenarkan keluar selama tiga hari sebelum hari perkahwinan.

Pengantin Bersanding

     Upacara perkahwinan dilakukan oleh Pedanda dengan berdoa supaya pengantin hidup bahagia hingga hari tua. Pedanda akan menabur sembilan jenis bijirin setelah selesai acara menyarung cincin. Pengantin lelaki akan mengalungkan thaali yang diperbuat daripada benang yang disapu dengan kunyit dan hujungnya diikat dengan seketul kunyit kepada pengantin perempuan hingga aras dada. Kedua mempelai memberi hormat kepada ibu bapa atau mertua dengan menukar dulang berisi buah-buahan dan menyapu debu suci pada dahi pengantin.

     Antara adat yang dilakukan untuk menghormati dan mendapat restu termasuklah menyerah sebiji kelapa yang dilubangkan pada bahagian atasnya, menuang air susu ke dalamnya, memberi sirih, mencium tapak kaki ibu bapa (membasuh kaki ibu bapa), memberi hadiah dhoti (bapa mertua) serta sari (ibu mertua) dan wang. Biasanya pasangan pengantin akan bertukar-tukar kalungan bunga sebanyak tiga kali dan berkongsi minum air susu bercampur pisang di dalam sebiji gelas. Upacara ini menandakan pasangan ini secara rasmi telah menjadi suami isteri.

      Beberapa faktor penting yang diambil kira sebelum upacara perkahwinan dilangsungkan untuk mendapat kebahagiaan hidup, antaranya seperti masa yang baik untuk melangsungkan perkahwinan, pengertian thaali, valatu kal, pemberian manisan, hadiah, penghormatan kepada pengantin lelaki, simbol pokok pisang, jamuan perkahwinan dan meroboh khemah perkahwinan.


Selepas Majlis Perkahwinan

     Terdapat beberapa adat yang dijalankan oleh masyarakat India selepas berlangsungnya sesuatu perkahwinan. Antara adat tersebut ialah pengantin perempuan dikehendaki pergi ke rumah pengantin lelaki sebagai menghormati suami selepas mereka disahkan sebagai pasangan suami isteri. Kemudian pengantin lelaki pula dikehendaki pergi ke rumah pengantin perempuan selama tiga hari. Pada masa itu ibu bapa mertua akan menghormati kedua-dua pengantin dengan mengadakan jamuan.

     Pada hari ketiga selepas perkahwinan, Khemah lazimnya akan dirobohkan. Sebelum khemah dirobohkan, ayam akan disembelih sebagai tanda menunjukkan tamatnya upacara perkahwinan. Namun amalan tersebut tidak lagi dilakukan pada masa kini. Hanya jamuan ringan sahaja yang diberikan kepada mereka yang merobohkan khemah perkahwinan.

      Jamuan perkahwinan tidak ketinggalan diadakan selepas upacara perkahwinan dijalankan. Sekiranya perkahwinan dilakukan di kuil, sayur-sayuran akan dihidangkan kepada para tetamu. Sekiranya jamuan diadakan di dewan, makanan selain dari sayur-sayuran dihidangkan, kecuali daging kerana daging amat dilarang dalam agama Hindu. Jamuan tersebut akan turut disertai oleh saudara mara serta sahabat handai.












Sunday 21 September 2014

ADAT ISTIADAT PERKAWINAN MASYARAKAT MELAYU SARAWAK



Perkahwinan
Perkahwinan dalam masyarakat Melayu Sarawak mempunyai banyak persamaan dengan adat perkahwinan masyarakat Melayu di Semenanjung. Ia merangkumi adat merasi, merisik dan majlis perkahwinan. 

Sebelum Perkahwinan
Merasi
Apabila seseorang pemuda berkeinginan untuk berkahwin, dia akan meminta ibu bapa untuk mencari pasangan untuknya. Ibu bapa pula akan menyerahkan tugas kepada pencari jodoh untuk mendapatkan calon yang sesuai sebagai menantu mereka. Pencari jodoh akan menjadi perantara bagi keluarga lelaki dan akan memberikan pendapatnya tentang seseorang gadis itu sama ada sesuai atau tidak.

Ngangin
Selepas merasi, wakil pihak lelaki akan membuat pertanyaan secara formal kepada keluarga pihak perempuan (kerisik kerimun) sama ada perempuan itu sudah berpunya ataupun tidak. Pihak perempuan akan meminta tempoh untuk membuat persetujuan.

Bertekul (Merisik)
Bertekul membawa makna yang sama dengan merisik dalam masyarakat Melayu sebelum majlis bertunang diadakan. Ia bergantung kepada kesediaan bakal pengantin untuk ditunangkan. Semasa adat bertekul ini, hantaran wang atau barang kemas seperti cincin emas atau berlian akan diberi kepada si gadis yang menandakan acara pertunangan akan diadakan (mereya).
Mereya ( Bertunang )
Semasa upacara pertunangan dilangsungkan, hantaran akan diberi oleh pihak lelaki melalui satu rombongan yang terdiri daripada sekumpulan ahli keluarga pihak lelaki. Antara hantaran yang diberi adalah duit, cincin tunang, persalinan, kasut, beg tangan dan lain-lain. Pihak perempuan akan membalas pemberian pihak lelaki. Pada kebiasaannya, hantaran pihak perempuan lebih banyak daripada pihak lelaki. Sekiranya terdapat saudara perempuan yang lebih tua (kakak) yang belum berkahwin (langkah batang), pihak lelaki mesti memberikan sebentuk cincin emas kepadanya.

Semasa Perkahwinan
Nikah
(A) Persediaan
Persediaan bagi majlis perkahwinan biasanya mengambil masa yang lama. Ia termasuk persediaan menempah kad jemputan, mencari mak andam dan sebagainya. Bagi majlis perkahwinan, mak andam adalah antara orang yang penting dalam menghias pengantin dan persediaan pelamin.
Dalam masyarakat Melayu Sarawak, upacara yang melibatkan agama adalah acara akad nikah, sementara yang bukan bersifat agama adalah acara bersanding, tepung tawar, berlulut dan makan nasi temuan.
Bergendang adalah acara keraian secara beramai-ramai yang mengambil masa selama tujuh hari tujuh malam. Majlis akad nikah biasanya diadakan sehari sebelum bersanding. Apabila akad nikah telah disempurnakan, pihak perempuan secara sah telah menjadi isteri kepada lelaki tersebut.
B) Jenis-jenis nikah
Majlis Perkahwinan/Persandingan
Pada waktu malam hari, iaitu sehari sebelum berlangsungnya majlis persandingan, upacara menepung tawar (berlulut) pengantin diadakan. Upacara berlulut ini juga adakalanya akan diikuti dengan upacara berpacar (berinai). Acara ini dimeriahkan lagi dengan acara pencak silat, gendang Melayu dan andai-andai atau tandak. Pengantin juga akan dimandikan oleh mak andam dalam acara mandi perantan yang diakhiri dengan berwudhu’.
Sebelum majlis persandingan diadakan, pengantin perempuan akan didandan dan dihias oleh mak andam yang dipilih untuk kelihatan cantik dan berseri. Pengantin dilarang melihat cermin semasa sedang diandam kerana dikhuatiri akan hilang seri pengantin. Antara pakaian persandingan pengantin perempuan yang biasanya dipakai adalah kebaya songket, gaun pengantin yang diperbuat daripada kain sutera bertekat benang emas dan Gajah Holen iaitu pakaian tradisional Melayu Sarawak. Pengantin lelaki pula biasanya akan mengenakan persalinan seperti seorang pahlawan atau pakaian haji (jubah putih atau hitam dan serban).
Sebelum rombongan lelaki berarak ke rumah pengantin perempuan, pihak pengantin perempuan akan menghantar tikar mengkuang (tikar ngambik pengantin) yang dibalut dengan tudung keringkam yang disulam dengan benang emas ke rumah pengantin lelaki. Penghantaran tikar mengkuang ini menandakan bahawa pihak perempuan sudah bersedia menerima kedatangan rombongan dari pihak lelaki.
Pengantin lelaki akan diarak dengan menggunakan kereta atau jong yang akan dimulai dengan membaca selawat sebanyak tiga kali dan diikuti dengan paluan hadrah. Setibanya di rumah pengantin perempuan, mereka akan disambut dengan acara pencak silat (silat kapak) sebagai pembuka pintu.
majlis perkahwinan
Pengantin lelaki akan dibawa masuk ke rumah dan didudukkan di samping pengantin perempuan yang sedia menanti di atas pelamin yang telah dihias indah. Semasa majlis persandingan, upacara berjembak dijalankan di mana pengantin lelaki akan menyentuh dahi pengantin perempuan dengan ibu jarinya dan jejambak (tuala kecil yang wangi dan dilipat berbentuk bunga). Ianya bersamaan dengan adat membatalkan air sembahyang. Doa selamat dan selawat dibacakan untuk kedua-dua mempelai. Tepung tawar dilakukan dengan diiringi oleh paluan hadrah. Pengantin kemudiannya melakukan upacara turun naik tangga sebanyak tujuh kali.
Pada sebelah petang atau malam, makan nasi temuan diadakan. Ini bagi membiasakan pengantin dengan kehidupan berkeluarga dan sekaligus untuk menghilangkan rasa malu. Majlis makan nasi temuan ini dilakukan bersama ahli keluarga, sanak saudara dan sahabat handai.

Selepas Perkahwinan
Pada kebiasaannya, selepas tujuh hari majlis perkahwinan berlangsung, adat menziarah ke rumah mentua oleh pengantin perempuan dilakukan. Adat ini juga dikenali sebagai mengundang menantu. Dalam majlis ini, ibu mentua akan menghadiahkan lapit kaki atau hadiah perkahwinan seperti rantai emas atau berlian bagi menunjukkan penerimaan dan kegembiraannya kerana mendapat menantu perempuan yang baru.